Guru
merupakan individu yang memainkan peranan penting dalam mengesan perkembangan,
kebolehan, kemajuan dan pencapaian murid. Guru bertanggungjawab menentukan
hasil pembelajaran yang hendak dinilai. Guru juga merancang dan membina
instrumen penilaian, mentadbir ujian, merekod hasil penilaian, menganalisis
maklumat, melapor dan menjalankan tindakan susulan yang perlu seperti aktiviti
pengukuhan, pengayaan dan pemulihan.
Ujian
ialah satu kaedah, tugas atau prosedur yang digunakan untuk memperoleh
pemerhatian yang sistematik tentang sifat, atau trait seseorang berhubung
dengan aspek pendidikan atau psikologi (Mokhtar Ismail, 1995). Ia penting dalam
memperlihatkan kejayaan atau kegagalan calon dalam sesuatu peperiksaan. Selain
itu ia juga berfungsi untuk memilih dan menempatkan calon dalam kumpulan
pelajar tertentu serta mengenal pasti kelemahan-kelemahan pelajar.
3.1.1
Ujian Pencapaian
Ujian
pencapaian ialah ujian yang digubal oleh guru bagi mengukur sejauh mana sesuatu
kumpulan murid atau seseorang murid berkenaan telah menguasai sesuatu topik
yang telah dipelajari. Ujian pencapaian boleh dijalankan dalam bentuk membuat
perbandingan dengan pelajar lain dalam sesuatu bilik darjah (rujukan norma)
atau membuat rujukan tertentu bagi sesuatu aras dalam topik (rujukan kriteria)
sesebuah dalam kurikulum. Kebanyakan pembinaan ujian pencapaian serta penskoran
adalah berteraskan ujian rujukan norma. Ujian pencapaian boleh digunakan untuk
mengukur aspek pencapaian akademik, aptitud, siasah, minat, sikap dan
sebagainya. Ujian pencapaian akademik dapat mengukur kebolehan, pengetahuan
serta kemahiran pelajar dalam pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah.
Ujian ini
dibina oleh guru dan pada peringkat institusi seperti Lembaga Peperiksaan
Malaysia (LPM) dan Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM). Penggubalan pada
peringkat perseorangan dikenali ujian di bilik darjah. Manakala bagi pencapaian
peringkat pusat dikenali sebagai PMR, SPM, STPM dalam sebagainya.
3.1.2 Ujian Kecerdasan
Ujian
kecerdasan dikenali juga ujian mental. Ujian ini cuba mengukur perbezaan di
antara individu. Ujian ini banyak mengalami perubahan serentak dengan
perkembangan bidang psikologi. Sejarah ujian ini bermula sejak tahun 1796.
Ujian ini mula berkembang sejak Galton pada tahun 1969 apabila beliau cuba
mengukur ketajaman deria, gambaran mental serta pencapaian intelektual di
antara pelajar genius. Tokoh-tokoh lain yang turut terlibat dalam mengukur
aspek mental termasuklah Wundt, Cattell d n Binet (Abu Bakar, 1986). Ujian
kecerdasan kanak-kanak terawal ialah skala Binet-Simon.
Bagi
kanak-kanak ujian kecerdasan tidak menekankan aspek kebahasaan. Ujian ini
mencerminkan pengalaman pada peringkat kanak-kanak. Ujian kecerdasan memberikan
bukti secara tidak langsung tentang potensi yang ditunjukkan murid-murid
berdasarkan prestasinya. Ujian ini kerap kali digunakan untuk membuat telahan
pencapaian di sekolah atau institusi pendidikan tinggi. Contoh ujian kecerdasan
lain seperti Ujian IQ, Skala Stanford-Binet, Weschler, Ujian Lorge-Thorndike
dan lain-lain.
3.1.3
Ujian Prestasi
Ujian
prestasi memerlukan para pelajar membuat beberapa tugasan lain sebagai tambahan
kepada menjawab soalan. Penekanan yang diberikan tertumpu kepada kebolehan
murid-murid melakukan sesuatu tugasan yang diberi berbanding hanya menjawab
soalan sahaja. Hal ini kerana maklumat personaliti seseorang tidak bernilai
jika dia menyedari bahawa dia sedang dinilai. Dengan itu dia akan melakukan
dengan sebaik yang mungkin. Dalam konteks ujian prestasi, tidak ada gerak balas
boleh dianggap sebagai `baik’. Misalnya tidak ada ukuran baik atau buruknya
minat seseorang itu pada dunia perladangan. Individu yang berminat boleh
meneruskan ladang dan sebaliknya boleh memilih bidang lain yang bersesuaian
dengan minatnya.
Pada
umumnya, ujian prestasi adalah rumit. Guru bebas menggunakan apa sahaja kaedah
seperti pemerhatian atau laporan kendiri untuk mendapatkan maklumat pelajar.
Pemerhatian boleh dilaksanakan semasa murid melaksanakan tugas yang diberikan,
misalnya perbincangan kumpulan, peranan murid dalam aktiviti. Manakala melalui
laporan kendiri pelajar sendiri menilai diri sendiri melalui soal selidik
tertentu yang menilai peribadi diri.
3.1.4 Ujian Diagnostik
Ujian ini
mengenal pasti sesuatu perkara atau masalah yang berlaku dalam pengajaran dan
pembelajaran dan menentukan punca-punca yang menyebabkan masalah berkenaan
berlaku. Pentadbiran ujian ini bertujuan untuk menentukan kedudukan murid dalam
pelajarannya dan mengenal pasti sebab-sebab berlakunya kelemahan murid dalam
pembelajarannya. Apabila sesuatu sebab dapat dikenal pasti maka tindakan
selanjutnya dalam merancang dan memulihkan keadaan yang berlaku dapat
dilaksanakan.
Ciri-ciri
ujian diagnostik termasuklah ujian tidak memberikan skor atau gred kepada
murid. Disebabkan ujian ini untuk memperbaiki kelemahan tertentu, maka ujian
ini dilaksanakan pada masa pengajaran dan pembelajaran masih berjalan bukan
pada akhir proses pengajaran dan pembelajaran. Maklumat daripada ujian dalam
ujian ini diterjemahkan dalam bentuk profil individu berasaskan skor tentang
aspek-aspek pembelajaran. Profil yang dibuat dapat memperlihatkan kepada guru
tentang aspek yang belum dikuasai sepenuhnya oleh murid-murid. Contoh ujian
diagnostik seperti ujian menilai bacaan murid yang bertujuan mengenal pasti
kemahiran murid untuk mengenal huruf dan menyebut huruf.
Ujian ini penting kerana ia dapat
mengenal pasti kelemahan murid dan ini memberikan peluang kepada guru untuk
menjalankan langkah pemulihan kepada murid-murid berkenaan. Di samping
mengadakan secara formal iaitu melibatkan pensel dan kertas, ujian ini juga
boleh dijalankan secara soal jawab, inventory, pemerhatian dan tugasan dari
semasa ke semasa.
3.1.5 Ujian Kecekapan
Ujian
kecekapan ialah ujian yang digunakan oleh seseorang guru untuk menguji
kebolehan atau kecekapan seseorang murid atau calon dalam melaksanakan sesuatu
tugas atau aktiviti yang diberikan. Lazimnya ujian ini melibatkan penggunaan
instrumen yang konkrit seperti penggunaan gambar dan radas serta tidak
semata-mata tertumpu kepada aspek bahasa dan pensel-kertas melainkan sewaktu
mendapatkan arahan. Contoh ujian kecekapan seperti ujian pada peringkat
pra-persekolahan dengan meminta murid mencantum-cantumkan perkataan dengan
gambar yang diberikan atau membina semula gambar dengan lengkap daripada
potongan-potongan gambar yang diberi atau menjalankan uji kaji menggunakan
radas tertentu.
3.1.6 Ujian Bakat
Ujian
yang dikaitkan dengan aktiviti membuat telahan ke atas calon. Suatu waktu
dahulu bakat dikenal sebagai kebolehan istimewa semulajadi yang dimiliki oleh
seseorang individu. Pada umumnya ujian bakat dapat dibahagikan kepada dua
kumpulan, iaitu: (i) ujian bakat yang berasaskan kajian secara besar-besaran.
Misalnya pada tahun 1930, kajian yang dijalankan oleh Universiti Minnesota
tentang bakat mekanikal; dan (ii) ujian bakat yang berasaskan kepada tujuan
sesuatu ujian itu dijalankan bagi keperluan tertentu.
Pada
umumnya, ujian ini memberikan maklumat asas dalam membuat telahan prestasi masa
depan calon. Ujian ini lazimnya digunakan untuk pemilihan calon melakukan
pekerjaan tertentu, kemasukan ke program latihan, permohonan biasiswa dan
sebagainya. Contoh ujian bakat seperti ujian kemasukan ke maktab perguruan (UKELP).
Ujian ini juga digunakan bagi tujuan mengelompokkan individu dalam kumpulan
tertentu mengikut kebolehan calon atau individu.
3.1.7 Ujian Personaliti
Ujian
personaliti ialah ujian yang disediakan untuk mengenal pasti potensi diri,
personaliti, tahap kemahiran, keupayaan , minat, nilai dan sikap seseorang yang
diukur melalui alat-alat (instrumen psikologi) yang berbentuk ujian, inventori,
indikator dan indeks. Contoh ujian personaliti seperti Ujian Keirsey
Temperament.
No comments:
Post a Comment